Elyana Sembunyi Kerana Malu?
Saturday, May 1, 2010
Kemunculan Elyana membuat persembahan di majlis Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan (PPMH) baru-baru ini agak mengejutkan tetamu yang hadir. Bukan kerana dia tidak mampu menyampaikan lagu dengan baik, sebaliknya bentuk badannya yang berisi yang membuatkan ramai terkejut.
Adakah ini penyebab Elyana menyembunyikan diri selama ini? Untuk menjawab persoalan itu, GUA telah dapatkan Elyana untuk memberikan penjelasan. Menurut penyanyi yang gemar berkaki ayam ketika membuat persembahan ini, memang dia mengelak daripada terlibat dengan mana-mana sesi photografi kerana kurang selesa dengan berat badannya sekarang ini.
“Saya akui memang sekarang ini saya kurang yakin dengan penampilan diri. Berat badan saya yang naik mendadak membuatkan saya mengelak daripada terlibat dengan mana-mana sesi fotografi. Tapi ini bukanlah bermakna saya tidak melakukan sebarang aktiviti. Saya masih menerima undangan nyanyian. Selain itu, saya juga baru selesai mengacarakan sebuah rancangan masakan yang akan bersiaran di RTM tidak lama lagi,” ujar Elyana.
Bercerita lanjut tentang kenaikkan berat badannya itu, Elyana yang akan muncul dengan album baru hujung tahun ini memberitahu sekarang ini berat badannya sudah mencecah 62 kilogram, berbanding dahulu beratnya hanya 51 kilogram. “Memang saya risau dengan pertambahan berat badan ini. Hendak katakan badan naik kerana selera makan bertambah, rasanya tidak pula. Selera makan saya sama macam dulu. Cuma sekarang ini kalau saya kontrol makan pun, berat badan saya tidak turun. Sedangkan sebelum ini makan banyak mana pun, berat badan saya tidak naik.
Saya sudah pun jumpa dengan doktor sebab takut kalau ada masalah kesihatan lain. Tapi doktor cakap tiada apa-apa masalah, mungkin kerana perubahan hormon. Sekarang ini saya sedang berusaha untuk dapatkan berat badan asal. Selain berdiet, saya juga luangkan masa ke gim memandangkan sudah setahun Celebrity Fitness menaja keahlian saya.” ujar Elyana yang mengaku tidak mengambil sebarang pil pelangsingan.
“Dulu saya pernah makan pil, tapi apabila saya berhenti mengambilnya, berat badan saya jadi bertambah naik. Sekarang ini saya memang tidak berani dan tidak mahu ambil sebarang pil pelangsingan,” tambah Elyana.
Kurangkan berlakon
Jika diperhatikan, akhir-akhir ini memang kurang cerita tentang karier nyanyian Elyana. Mungkin kerana Elyana sibuk dengan dunia lakonannya. Silap-silap ada yang terlupa bahawa karier seni gadis ini bermula dengan nyanyian. Menyedari hakikat itu, Elyana tekad mahu mengurangkan aktiviti lakonannya bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada pembikian album terbarunya.
“Saya rasa orang sudah mula lupa yang saya sebenarnya seorang penyanyi. Sebab itu tahun 2010 ini saya mahu fokus pada nyanyian dan kurangkan berlakon. Kalau ikutkan minat, saya lebih suka menyanyi daripada berlakon dan mengacara. Saya ceburi bidang lakonan dan mengacara kerana ingin tingkatkan kemahiran berkomunikasi ketika membuat persembahan di pentas. Kedua-dua bidang ini memang banyak membantu.
Tetapi ini tidak bermakna saya tidak akan berlakon langsung. Saya cuma tidak mahu ambil tawaran berlakon drama bersiri. Untuk telemovie rasanya tidak ada masalah kerana tempoh penggambarannya tidak terlalu lama,” ujar Elyana. Mengikut perancangan, Elyana akan muncul dengan album terbaru pada hujung tahun ini. Seperti biasa, Elyana masih mengekalkan Aidit Alfian sebagai komposer.
“Saya akan masuk studio tidak lama lagi. Saya masih kekalkan Abang Aidit dan konsep yang sama. Cuma kali ini susunan muzik dan lirik lebih matang. Album itu nanti akan memuatkan 10 lagu sebab syarikat rakaman saya, FMC masih berani untuk keluarkan album penuh. Saya rasa tak salah buat album penuh sebab peminat yang beli nanti akan rasa lebih puas hati,” kata Elyana. Ada buat sebarang lagu atau lirik untuk album terbaru ini?
“Tidak ada lagu atau lirik yang saya buat sendiri untuk album terbaru ini. Memang saya ada buat lagu sendiri, tapi saya tak berani hendak bagi pada Abang Aidit, takut dia gelakkan. Saya ini tidak pandai main alat muzik jadi saya hanya humming untuk dua lagu ciptaan saya itu. Buat masa ini biarlah saya simpan dulu lagu tersebut. Kalau dah bersedia nanti, barulah saya tunjukkannya,” jelas Elyana.
0 comments:
Post a Comment