Ekspresif Elyana, Ellyas

Sunday, January 11, 2009


MUDA, segar generasi pelapis karyawan seni tanah air.


ERNEELYA Elyana Emrizal atau lebih mesra disapa Elyana, 20, kini bukan lagi gadis hingusan yang dikenali sejak alam persekolahan enam tahun lalu.


Hakikatnya, Elyana yang mula memahat nama sebagai penyanyi bersama syarikat rakaman FMC ketika dia berusia 15 tahun, sudah jauh mengatur langkah.


Puas membawa gelaran sebagai penyanyi, barangkali Elyana mahu menambah profil dalam direktori seninya apabila dia mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan.


Dia hadir bagaikan pakej lengkap yang cukup direstui dalam industri hiburan tanah air, malah percubaannya beraksi di kaca TV dan layar lebar ternyata membuahkan hasil.


Walaupun masih belum teruji dengan watak lain lebih mencabar, namun kata-kata pujian harus dilayang buat anak kelahiran Klang, Selangor ini atas usaha gigihnya menjiwai karakter.


Nyanyian jadi keutamaan


KARIER nyanyian dan lakonan Elyana kini sedang bersinar.



Sudah selesa dengan transformasi dunia barunya sebagai pelakon, apakah karier nyanyian Elyana sudah menerbitkan bibit-bibit pengakhiran?


Kini popular menerusi lagu Kalis Rindu, Elyana berkata, dia mendapat banyak tawaran lakonan setelah melibatkan diri dengan filem Seriau kira-kira lima tahun lalu.


"Cuma saya tidak mahu terima buat masa ini apatah lagi saya hanya jadikan kerjaya ini sekadar mengisi masa lapang.


"Bidang nyanyian masih didahulukan. Berlakon sekadar hendak mencuba sesuatu yang baru untuk diterokai.


"Saya tidak boleh cakap lebih-lebih, mana tahu suatu hari nanti saya akan jadikan lakonan sebagai kerjaya tetap.


"Tidak mustahil bukan kalau ia berlaku," soalnya ringkas.


Elyana punca box-office?


Menceritakan filem terbarunya, Elyana yang memegang watak sebagai Opie berkata, hampir 90 peratus karakter dalam Dunia Baru The Movie menyerupai dirinya di alam realiti.


"Ada persamaan antara Opie dan Elyana menerusi aspek kekeluargaan, fesyen dan pergaulan.


"Tidak sukar membawakan diri Opie kerana saya banyak gunakan pengalaman sendiri bagi menjiwai watak," pintasnya.


Mengakui dia tidak mempunyai ramai kenalan, Elyana mengakui teruja kerana dapat mengenali pelakon lain dalam Dunia Baru The Movie.


"Peluang berlakon ibarat saya dapat tambah kawan baru yang memiliki pelbagai ragam dan telatah menarik," katanya.


Dalam pada itu, Dunia Baru The Movie berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM1.7 juta sepanjang sembilan hari berada di pawagam seluruh tanah air.


Bagi Elyana, dia menganggap kejayaan filem itu berdasarkan kerjasama dari semua pelakon dan krew produksi yang terlibat.


"Kalau ada yang cakap Dunia Baru The Movie berjaya disebabkan penglibatan saya sendiri, ia tidak benar sama sekali.


"Semua pelakon yang menjayakan filem ini memberikan sepenuh komitmen masing-masing.


"Ia berlaku disebabkan setiap karakter memiliki keistimewaan dan kekuatan sendiri," ujarnya.


Dunia Baru Ellyas


ELLYAS menangguhkan pengajian demi bergelar pelakon.



Raut wajah comel dengan rambut unik menjadikan Ellyas atau nama sebenarnya Wan Ellyas Wan Abdullah, 27, yang membawa karakter Tajol semakin digilai ramai.


Mula dikenali menerusi drama bersiri Dunia Baru sejak dua tahun lalu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini mengakui percaturannya melibatkan diri dalam bidang seni ternyata tidak sia-sia.


Masakan tidak, dia sanggup menangguhkan seketika pengajiannya di sebuah kolej swasta dalam bidang Teknologi Maklumat demi menggapai cita yang diimpikan bergelar pelakon.


"Sebelum ini saya berkecimpung dalam dunia pengiklanan komersial. Ketika itu saya masih menuntut dalam peringkat ijazah sarjana muda.


"Setelah berfikir masak-masak, saya menangguhkan seketika kursus yang diambil. Kini saya masih ada tempoh setahun lagi sebelum menamatkan pelajaran," katanya tanpa berselindung.


Rentetan kerjaya seni


Dilahirkan pada 7 September 1981, Ellyas memberitahu, dia terjun di bidang lakonan hanyalah secara kebetulan, malah ia tidak pula disengajakan.


"Pihak Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) ada ternampak gambar saya dalam majalah dan saya dipanggil untuk uji bakat.


"Selepas itu saya terus diterima. Lalu bermulalah episod saya bekerjasama dalam siri Dunia Baru bersama para pelakon lain.


"Dari situlah permulaan karier saya bergelar pelakon. Saya diberi peranan sebagai Tajol - individu yang kasar, suka berterus-terang dan mementingkan soal wang.


"Setelah Dunia Baru memasuki musim ketiga dan terlibat dengan filem Dunia Baru The Movie, saya semakin selesa meneruskan perjuangan sebagai pelakon," katanya gembira.


Transisi drama ke filem


Menganggap Tajol berlawanan dengan jati dirinya, Ellyas mengakui, dia gembira dapat berlakon dalam filem lebih-lebih lagi dia ibarat pucuk muda yang baru sahaja hendak bercambah.


"Sudah tentu saya gembira dapat peluang berlakon filem meski pun baru setahun jagung melangkahkan kaki dalam bidang ini.


"Ada bezanya filem dan siri Dunia Baru. Kalau dalam drama rantaian itu mengandungi 13 episod selama sejam, filem ini pula mengambil masa satu jam setengah dan pelbagai elemen perlu diketengahkan.


"Memang sukar pada mulanya. Dalam filem yang berkapasiti besar, pastinya kami perlu menitikberatkan pelbagai perkara waima sekecil mana sekali pun.


"Bayangkan, dalam tempoh sesingkat itu, kami perlu tonjolkan pelbagai adegan menarik yang dapat menyalurkan mesejnya kepada audiens," celahnya lebih lanjut.


Begitu pun, Ellyas benar-benar menghargai bantuan dan sokongan pengarah filem ini, M. Hitler Zami yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang penggambaran filem ini dilakukan.


"Kalau ada yang cakap lakonan saya baik dan nampak natural, kredit itu jugalah yang patut dihalakan kepada Hitler," jawabnya merendah diri.


BARISAN karyawan filem generasi baru yang sedang meraih sambutan hangat.

Read more...

Kalih Hidup Elyana

Saturday, January 10, 2009


Visual pandangan mata dan audio pembawa cerita mengungkapkan bahawa gadis yang memiliki nama unik, Erneelya Elyana Emrizal sudah mula nampak transformasi. Ramai yang mengatakan gadis muda belia ini telah menempuh era perubahannya.


Namun tatkala Elyana melangkah masuk ke bilik solekan, saya belum lihat apa-apa perbezaan pada dirinya. Masih kekal periang dan selamba. Dia masuk membawa gaya ranggi, berseluar denim koyak, berbaju santai dan selipar rata kegemaran remaja sekarang.


Namun kala dia membuka mulut sambil bergelak ketawa dengan jurusolek, saya merasai kelainannya. Dia lebih terbuka. Karakter dan imej dalamannya lebih matang.


Daripada tangga ke ronggaMerubah diri sendiri dari satu tahap ke tahap yang lain bukan hal 'kacang-kacangan'. Perjalanan perlu cantik agar kerjaya sebagai anak seni bersih dan teratur.


Dan tak salah untuk dikatakan gadis 21 tahun ini mendaki tangga ke tangga sambil perubahan terus meresap ke setiap rongga hidupnya. Perlahan-lahan namun kemas.


Elyana baru muncul dengan album keempat, sesuatu yang dicopkan sebagai simbol dirinya yang sebenar sejajar dengan tajuk yang diberikan - Jadi Diriku. Dan dia juga baru sahaja keluar dengan sebuah filem, Dunia Baru The Movie.


"99 peratus isi album itu adalah diri saya. Bukan sahaja konsep tetapi apa jua yang saya inginkan ada di dalamnya."


ELYANA kini tinggal berasingan daripada keluarga dan mula meneroka cinta.


Terbayang kepuasan menerusi bola matanya, Elyana juga rancak bercerita tentang album yang diterbitkan oleh komposer muda, Aidit Alfian itu.


Menjelaskan setiap bait seni kata di dalam albumnya hasil tulisan arwah Loloq dan Ad Samad berkait dengan kisah hidupnya namun paling menarik adalah Kalis Rindu.


"Macam mana nak cakap ye? Lirik itu boleh menggambarkan keadaan seperti anda sedang membaca komik, duduk di tanah yang lapang dan bersendirian. Ada tasik di situ. Bayangkan!


"Dan dengar lirik lagu itu, mesti terkena dengan sesiapa sahaja," ujarnya dalam ketawa dan raut matang sambil menjelaskan bahawa lagu itu paling sukar dinyanyikan.


Jadi diri sendiriSejujurnya Elyana sering tampil dengan gaya khasnya. Cerita bab berkaki ayam dan berambut warna-warni sudah wajib melekat dan jadi trademark dirinya.


Saya cuba kilaskan balik perjalanan karier hidup Elyana bermula dengan perkataan sombong yang lekat pada dirinya seketika. Adakah transformasi terhadap tingkah laku itu sudah terjadi atau tetap duduknya?


"Tak ramai yang faham. Saya bukan sombong. Itu saya. Sebetulnya, saya ialah seorang yang tidak ada keyakinan diri terutama bab menegur orang. Saya akui itu dan rupa-rupanya itu satu kelemahan.


"Namun jujurnya juga, saya sudah mengalami perubahan yang sangat ketara. Ini semua kerana saya sudah melalui proses pembelajaran dan belajar dengan ramai orang. Saya rupa-rupanya tidak perlu takut untuk menegur," ujarnya serius.


Aidit Alfian macam mak tiriJadi Diriku terbit dengan kerjasama tulang belakang yang mempunyai nama kuat yang sedang bangkit, Aidit Alfian, Ad Samad, Alfa Booty dan Rumie Booty. Dan sejajar dengan itu sudah dua album, dua nama ini bekerjasama.


Elyana dan Aidit Alfian. Nampaknya kolaborasi ini menjadi dan lebih tepat menyerlahkan lagi nama Elyana sebagai penyanyi pelapis yang sudah ada identiti sendiri.


Saat saya tanyakan Aidit, apa yang dia nampak pada seorang Elyana, pantas dia menjawab: "Tinggi, berani dan adventurous."


Dan menanyakan soalan yang sama pada Elyana, jawabnya dalam ketawa lagi: "Abang Aidit macam mak tiri sikit. Garang dia tu. Tapi dia seorang yang berani mencuba. Dia tahu saya yang tidak mahu menyanyi lagu mendayu-dayu ni. Dan dia seorang yang sangat kreatif."


Menyedari yang kariernya tidak naik terlalu tinggi dan memerlukan perjalanan masa yang panjang, Elyana punya prinsip tersendiri.


"Pada saya, tidak mengapa kalau tidak terbang tinggi, cuma kita harus terus berpijak. Setiap usaha pasti ada jaya."


Belajar tinggal sendiriDiam tak diam, pada usia 21 tahun Elyana semakin ingin belajar berdikari. Mungkin ternampak canggung pada mata khalayak, tapi Elyana yakin dengan duduk sendiri akan semakin mengubah dirinya.


"Saya tinggal sendiri sekarang. Bagi saya, setiap orang perlukan ruang untuk bersendiri.


"Waktu privasi itu sangat berharga. Dan yang lebih penting lagi, tinggal seorang boleh membuatkan saya lebih bertanggungjawab terhadap diri dan kehidupan."


Bukan alasan yang diciptakan semata-mata untuk sebuah kebebasan hidup tapi itu satu eksperimen yang menguji tahap disiplin diri sendiri.


"Pada awalnya kehendak ini ditolak oleh ibu dan bapa namun kerana memberi ruang untuk Elyana mencuba, ia 'diluluskan'.


"Menjadi tanggungjawab saya juga untuk membuat mereka percaya dengan saya," ujarnya yang baru sembilan bulan tinggal bersendirian.


Cinta anak mudaJika Elyana sendiri yang mengaku bahawa setiap lirik dalam album Jadi Diriku ini punya makna dalam hidupnya, saya tanyakan dia tentang permainan tarik tali dalam kehidupannya. Maklum sahaja, single pertama album ini bertajuk Kau Atau Aku (Tarik Tali).


"Ada permainan tarik tali dalam hidup saya. Tidak salah apabila seseorang menyimpan perasaan. Dan daripada sebuah lagu dan lirik, ia lebih sampai. Dan bagi saya penyanyi perlu ada rasa cinta untuk wujudkan rasa yang betul pada nyanyiannya."


Jadi kita beralih terus kepada babak yang sememangnya sering menjadi persembunyian para selebriti. Seakan tabu atau malu, ramai yang tidak suka mengungkapkannya.


Tidak bagi pemegang nama Opie dalam drama Dunia Baru ini. Senyumnya melerek dan mata memang tak boleh menipu.


"Benar, saya berjumpa dengan seseorang. Dia berusia 30-an. Yang pasti, saya senang dengannya. Dia simple.


"Ada masanya kita berjumpa dengan lelaki yang langsung tidak boleh masuk dengan kepala kita tapi dia lain. Dia senang memahami diri saya dan masuk kepala.


"Sukar untuk dapat respons daripada lelaki apabila perempuan bercakap, kan? Tapi yang seronoknya, dia bagi sepenuh perhatian bila saya bersuara.


"Pertemuan saya dengan dia sebenarnya secara kebetulan. Mulanya dia jual mahal tapi kemudian kami senang berkawan. Sikap jual mahalnya yang mencabar saya sebenarnya."


Elyana jelas berada di alam cinta - transformasi diri gadis remaja..

sumber:Kosmo

Read more...

Elyana ,dulu dan kini !!

Monday, January 5, 2009

Penampilannya sejak empat tahun lalu hingga kini, sentiasa berubah-ubah.

LAGU Niat yang dinyanyikannya pada tahun 1998 berjaya melonjakkan namanya dalam bidang seni suara. Kemudian diikuti pula dengan lagu Tak Tercapai Akalmu, Diriku Bagaikan Tapak Sulaiman dan terbaru, Kalis Rindu yang terus memuncakkan popularitinya.

Dulu dan kini, penampilan Erneelya Elyana Emrizal, 21, atau lebih popular dengan panggilan Elyana, cukup berbeza. Potongan rambut, pemilihan busana dan padanan aksesori segala-galanya disesuaikan mengikut peredaran zaman.

Tata rias bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, ini tidak pernah silap, sebaliknya sentiasa menjadi ikutan gadis remaja yang inginkan penampilan yang lebih segar dan ranggi.

Ikuti transformasi bintang muda ini yang gemar mengumpul aksesori dan sentiasa mencuci rambutnya setiap hari supaya kekal sihat dan bersinar.

source:Kosmo

KIRI:
GAYA ranggi terserlah apabila menggenakan seluar jean separa lutut, baju-t tanpa lengan serta tali pinggang dan gelang rona hitam.
TENGAH:
SEMAKIN bijak berfesyen. Padanan rantai dan skirt pendek bertingkat tampak ceria bersama baju-t rona hijau. Lebih-lebih lagi, potongan juraian rambut depannya.
KANAN:
MASIH mencari imej sendiri. Gaya rambut pendek dan penampilan kasual sentiasa menjadi pilihannya ketika berusia belasan tahun.

KANAN:
GEMAR bereksperimen dengan potongan rambut terkini. Rambut Elyana yang hitam dan panjang dipotong pendek. Highlight rona merah menambah seri rambut.
TENGAH:
FESYEN koboi yang unik. Bulu mata palsu menambahkan daya tarikan pada wajahnya. Elyana tidak pernah lupa membawa pelentik bulu mata dan maskara ke mana sahaja.
KANAN:
SESEKALI muncul dengan potongan rambut pendek yang telah dikeritingkan

Now!!

Read more...