Elyana akui bakal bertunang!
Tuesday, June 9, 2009
Gua | 3 Jun
Selepas isu dikatakan menghidap penyakit misteri, pelakon serta penyanyi popular Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali sebagai Elyana seakan menyepikan diri daripada dunia seni. Tidak banyak cerita terbaru tentangnya dipaparkan di media massa.
Namun berkesempatan bertemu dengannya baru-baru ini, Elyana mengakui dia bukan menyepikan diri seperti yang disangka oleh kebanyakan orang sebaliknya dia terlalu sibuk dengan penggambaran beberapa buah drama baru termasuklah drama bersiri 26 episod, ‘Katrina Kamelia’ yang bakal ditayangkan di Astro tidak lama lagi.
"Sekarang saya berehat seketika sebab penggambaran drama tersebut sangat memenatkan dan mengambil masa yang agak panjang iaitu empat bulan. Saya menerima beberapa tawaran lain dan masih mempertimbangkannya. Kalau boleh saya tidak mahu jadual seni saya bertindan antara satu sama lain," ujarnya.
Dalam pertemuan itu juga, anak kedua daripada empat beradik itu turut ditanya tentang khabar angin yang mengatakan dia bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.
Bagaimanapun penyanyi yang terkenal dengan imej 'berkaki ayam' itu menafikan akan perkara tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan untuk bertunang pada tahun ini. Namun tidak banyak yang boleh diceritakannya kerana segalanya masih terlalu awal.
"Kalau nak cakap saya akan berkahwin pada tahun ini rasanya tidak. Tetapi saya mungkin akan bertunang. Namun segala-galanya masih di dalam tahap perbincangan dan kalau segala-galanya berjalan lancar, saya akan hantar kad undangan kepada semua," jelasnya ceria.
Diasak dengan pelbagai pertanyaan tentang majlis pertunangan yang bakal dilangsungkannya, penyanyi yang popular dengan lagu “Tak Tercapai Akalmu” dan “Kalis Rindu” itu enggan mendedahkannya. Katanya segala-galanya masih terlalu awal dan dia risau jika perancangan tersebut tidak berjalan seperti yang dirancang.
"Kalau betul saya jadi bertunang, saya akan beritahu semua. Buat masa sekarang saya belum buat apa-apa persiapan kerana masih terlalu awal. Nanti kalau tak jadi, saya juga yang malu," katanya.
Ditanya tentang lelaki bertuah yang sedang bertakhta di hatinya kini, anak kelahiran negeri Selengor itu memberitahu dia sudah agak lama berkawan dengannya dan selesa dengan perhubungan tersebut.
Apa yang pasti katanya, lelaki itu tidak terlibat langsung dengan industri seni negara tetapi sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya seninya.
"Dia seorang ahli perniaagaan. Apa yang boleh saya harapkan, agar perhubungan ini berkekalan. Cukuplah buat masa ini kerana itu sahaja yang boleh saya katakan," katanya yang cuba mengelak untuk bercerita lebih lanjut tentang teman istimewanya itu.
Bercerita tentang kerjaya nyanyiannya, pelakon yang cukup terkenal melalui drama bersiri 13 episod, ‘Renjis’ sebelum ini memberitahu sepatutnya dia telah lama masuk ke studio rakaman untuk merakamkan lagu-lagu terbaru.
Namun kesibukannya di lokasi menyebabkan perancangan tersebut ditangguhkan buat seketika. Ini kerana Elyana tidak mahu melakukan sesuatu kerja secara tergesa-gesa kerana dia mahu menghasilkan sebuah album yang berkualiti untuk para peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepadanya selama ini.
Katanya album terbarunya masih mengekalkan konsep yang sama seperti album terdahulu dan mengekalkan penerbit yang sama iaitu Aidit Alfian. Katanya dia selesa bekerjasama dengan Aidit kerana komposer tersebut tahu akan kekuatan vokal serta kelebihan yang ada pada dirinya.
"Sudah sekian lama saya bekerjasama dengtan Aidit. Malah peminat juga mengakui lagu-lagu Aidit yang saya nyanyikan cukup serasi dengan saya. Oleh sebab itu saya sentiasa mahu bekerjasama dengannya.
"Apa yang penting kami sudah tahu dengan cara kerja masing-masing kerana ia akan memudahkan proses rakaman yang akan kami lakukan," ujar Elyana yang sebelum ini pernah dilabekan sebagai seorang penyanyi yang suka berpenampilan seksi.
0 comments:
Post a Comment