Kalih Hidup Elyana

Saturday, January 10, 2009


Visual pandangan mata dan audio pembawa cerita mengungkapkan bahawa gadis yang memiliki nama unik, Erneelya Elyana Emrizal sudah mula nampak transformasi. Ramai yang mengatakan gadis muda belia ini telah menempuh era perubahannya.


Namun tatkala Elyana melangkah masuk ke bilik solekan, saya belum lihat apa-apa perbezaan pada dirinya. Masih kekal periang dan selamba. Dia masuk membawa gaya ranggi, berseluar denim koyak, berbaju santai dan selipar rata kegemaran remaja sekarang.


Namun kala dia membuka mulut sambil bergelak ketawa dengan jurusolek, saya merasai kelainannya. Dia lebih terbuka. Karakter dan imej dalamannya lebih matang.


Daripada tangga ke ronggaMerubah diri sendiri dari satu tahap ke tahap yang lain bukan hal 'kacang-kacangan'. Perjalanan perlu cantik agar kerjaya sebagai anak seni bersih dan teratur.


Dan tak salah untuk dikatakan gadis 21 tahun ini mendaki tangga ke tangga sambil perubahan terus meresap ke setiap rongga hidupnya. Perlahan-lahan namun kemas.


Elyana baru muncul dengan album keempat, sesuatu yang dicopkan sebagai simbol dirinya yang sebenar sejajar dengan tajuk yang diberikan - Jadi Diriku. Dan dia juga baru sahaja keluar dengan sebuah filem, Dunia Baru The Movie.


"99 peratus isi album itu adalah diri saya. Bukan sahaja konsep tetapi apa jua yang saya inginkan ada di dalamnya."


ELYANA kini tinggal berasingan daripada keluarga dan mula meneroka cinta.


Terbayang kepuasan menerusi bola matanya, Elyana juga rancak bercerita tentang album yang diterbitkan oleh komposer muda, Aidit Alfian itu.


Menjelaskan setiap bait seni kata di dalam albumnya hasil tulisan arwah Loloq dan Ad Samad berkait dengan kisah hidupnya namun paling menarik adalah Kalis Rindu.


"Macam mana nak cakap ye? Lirik itu boleh menggambarkan keadaan seperti anda sedang membaca komik, duduk di tanah yang lapang dan bersendirian. Ada tasik di situ. Bayangkan!


"Dan dengar lirik lagu itu, mesti terkena dengan sesiapa sahaja," ujarnya dalam ketawa dan raut matang sambil menjelaskan bahawa lagu itu paling sukar dinyanyikan.


Jadi diri sendiriSejujurnya Elyana sering tampil dengan gaya khasnya. Cerita bab berkaki ayam dan berambut warna-warni sudah wajib melekat dan jadi trademark dirinya.


Saya cuba kilaskan balik perjalanan karier hidup Elyana bermula dengan perkataan sombong yang lekat pada dirinya seketika. Adakah transformasi terhadap tingkah laku itu sudah terjadi atau tetap duduknya?


"Tak ramai yang faham. Saya bukan sombong. Itu saya. Sebetulnya, saya ialah seorang yang tidak ada keyakinan diri terutama bab menegur orang. Saya akui itu dan rupa-rupanya itu satu kelemahan.


"Namun jujurnya juga, saya sudah mengalami perubahan yang sangat ketara. Ini semua kerana saya sudah melalui proses pembelajaran dan belajar dengan ramai orang. Saya rupa-rupanya tidak perlu takut untuk menegur," ujarnya serius.


Aidit Alfian macam mak tiriJadi Diriku terbit dengan kerjasama tulang belakang yang mempunyai nama kuat yang sedang bangkit, Aidit Alfian, Ad Samad, Alfa Booty dan Rumie Booty. Dan sejajar dengan itu sudah dua album, dua nama ini bekerjasama.


Elyana dan Aidit Alfian. Nampaknya kolaborasi ini menjadi dan lebih tepat menyerlahkan lagi nama Elyana sebagai penyanyi pelapis yang sudah ada identiti sendiri.


Saat saya tanyakan Aidit, apa yang dia nampak pada seorang Elyana, pantas dia menjawab: "Tinggi, berani dan adventurous."


Dan menanyakan soalan yang sama pada Elyana, jawabnya dalam ketawa lagi: "Abang Aidit macam mak tiri sikit. Garang dia tu. Tapi dia seorang yang berani mencuba. Dia tahu saya yang tidak mahu menyanyi lagu mendayu-dayu ni. Dan dia seorang yang sangat kreatif."


Menyedari yang kariernya tidak naik terlalu tinggi dan memerlukan perjalanan masa yang panjang, Elyana punya prinsip tersendiri.


"Pada saya, tidak mengapa kalau tidak terbang tinggi, cuma kita harus terus berpijak. Setiap usaha pasti ada jaya."


Belajar tinggal sendiriDiam tak diam, pada usia 21 tahun Elyana semakin ingin belajar berdikari. Mungkin ternampak canggung pada mata khalayak, tapi Elyana yakin dengan duduk sendiri akan semakin mengubah dirinya.


"Saya tinggal sendiri sekarang. Bagi saya, setiap orang perlukan ruang untuk bersendiri.


"Waktu privasi itu sangat berharga. Dan yang lebih penting lagi, tinggal seorang boleh membuatkan saya lebih bertanggungjawab terhadap diri dan kehidupan."


Bukan alasan yang diciptakan semata-mata untuk sebuah kebebasan hidup tapi itu satu eksperimen yang menguji tahap disiplin diri sendiri.


"Pada awalnya kehendak ini ditolak oleh ibu dan bapa namun kerana memberi ruang untuk Elyana mencuba, ia 'diluluskan'.


"Menjadi tanggungjawab saya juga untuk membuat mereka percaya dengan saya," ujarnya yang baru sembilan bulan tinggal bersendirian.


Cinta anak mudaJika Elyana sendiri yang mengaku bahawa setiap lirik dalam album Jadi Diriku ini punya makna dalam hidupnya, saya tanyakan dia tentang permainan tarik tali dalam kehidupannya. Maklum sahaja, single pertama album ini bertajuk Kau Atau Aku (Tarik Tali).


"Ada permainan tarik tali dalam hidup saya. Tidak salah apabila seseorang menyimpan perasaan. Dan daripada sebuah lagu dan lirik, ia lebih sampai. Dan bagi saya penyanyi perlu ada rasa cinta untuk wujudkan rasa yang betul pada nyanyiannya."


Jadi kita beralih terus kepada babak yang sememangnya sering menjadi persembunyian para selebriti. Seakan tabu atau malu, ramai yang tidak suka mengungkapkannya.


Tidak bagi pemegang nama Opie dalam drama Dunia Baru ini. Senyumnya melerek dan mata memang tak boleh menipu.


"Benar, saya berjumpa dengan seseorang. Dia berusia 30-an. Yang pasti, saya senang dengannya. Dia simple.


"Ada masanya kita berjumpa dengan lelaki yang langsung tidak boleh masuk dengan kepala kita tapi dia lain. Dia senang memahami diri saya dan masuk kepala.


"Sukar untuk dapat respons daripada lelaki apabila perempuan bercakap, kan? Tapi yang seronoknya, dia bagi sepenuh perhatian bila saya bersuara.


"Pertemuan saya dengan dia sebenarnya secara kebetulan. Mulanya dia jual mahal tapi kemudian kami senang berkawan. Sikap jual mahalnya yang mencabar saya sebenarnya."


Elyana jelas berada di alam cinta - transformasi diri gadis remaja..

sumber:Kosmo

0 comments:

Post a Comment