Ekspresif Elyana, Ellyas

Sunday, January 11, 2009


MUDA, segar generasi pelapis karyawan seni tanah air.


ERNEELYA Elyana Emrizal atau lebih mesra disapa Elyana, 20, kini bukan lagi gadis hingusan yang dikenali sejak alam persekolahan enam tahun lalu.


Hakikatnya, Elyana yang mula memahat nama sebagai penyanyi bersama syarikat rakaman FMC ketika dia berusia 15 tahun, sudah jauh mengatur langkah.


Puas membawa gelaran sebagai penyanyi, barangkali Elyana mahu menambah profil dalam direktori seninya apabila dia mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan.


Dia hadir bagaikan pakej lengkap yang cukup direstui dalam industri hiburan tanah air, malah percubaannya beraksi di kaca TV dan layar lebar ternyata membuahkan hasil.


Walaupun masih belum teruji dengan watak lain lebih mencabar, namun kata-kata pujian harus dilayang buat anak kelahiran Klang, Selangor ini atas usaha gigihnya menjiwai karakter.


Nyanyian jadi keutamaan


KARIER nyanyian dan lakonan Elyana kini sedang bersinar.



Sudah selesa dengan transformasi dunia barunya sebagai pelakon, apakah karier nyanyian Elyana sudah menerbitkan bibit-bibit pengakhiran?


Kini popular menerusi lagu Kalis Rindu, Elyana berkata, dia mendapat banyak tawaran lakonan setelah melibatkan diri dengan filem Seriau kira-kira lima tahun lalu.


"Cuma saya tidak mahu terima buat masa ini apatah lagi saya hanya jadikan kerjaya ini sekadar mengisi masa lapang.


"Bidang nyanyian masih didahulukan. Berlakon sekadar hendak mencuba sesuatu yang baru untuk diterokai.


"Saya tidak boleh cakap lebih-lebih, mana tahu suatu hari nanti saya akan jadikan lakonan sebagai kerjaya tetap.


"Tidak mustahil bukan kalau ia berlaku," soalnya ringkas.


Elyana punca box-office?


Menceritakan filem terbarunya, Elyana yang memegang watak sebagai Opie berkata, hampir 90 peratus karakter dalam Dunia Baru The Movie menyerupai dirinya di alam realiti.


"Ada persamaan antara Opie dan Elyana menerusi aspek kekeluargaan, fesyen dan pergaulan.


"Tidak sukar membawakan diri Opie kerana saya banyak gunakan pengalaman sendiri bagi menjiwai watak," pintasnya.


Mengakui dia tidak mempunyai ramai kenalan, Elyana mengakui teruja kerana dapat mengenali pelakon lain dalam Dunia Baru The Movie.


"Peluang berlakon ibarat saya dapat tambah kawan baru yang memiliki pelbagai ragam dan telatah menarik," katanya.


Dalam pada itu, Dunia Baru The Movie berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM1.7 juta sepanjang sembilan hari berada di pawagam seluruh tanah air.


Bagi Elyana, dia menganggap kejayaan filem itu berdasarkan kerjasama dari semua pelakon dan krew produksi yang terlibat.


"Kalau ada yang cakap Dunia Baru The Movie berjaya disebabkan penglibatan saya sendiri, ia tidak benar sama sekali.


"Semua pelakon yang menjayakan filem ini memberikan sepenuh komitmen masing-masing.


"Ia berlaku disebabkan setiap karakter memiliki keistimewaan dan kekuatan sendiri," ujarnya.


Dunia Baru Ellyas


ELLYAS menangguhkan pengajian demi bergelar pelakon.



Raut wajah comel dengan rambut unik menjadikan Ellyas atau nama sebenarnya Wan Ellyas Wan Abdullah, 27, yang membawa karakter Tajol semakin digilai ramai.


Mula dikenali menerusi drama bersiri Dunia Baru sejak dua tahun lalu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini mengakui percaturannya melibatkan diri dalam bidang seni ternyata tidak sia-sia.


Masakan tidak, dia sanggup menangguhkan seketika pengajiannya di sebuah kolej swasta dalam bidang Teknologi Maklumat demi menggapai cita yang diimpikan bergelar pelakon.


"Sebelum ini saya berkecimpung dalam dunia pengiklanan komersial. Ketika itu saya masih menuntut dalam peringkat ijazah sarjana muda.


"Setelah berfikir masak-masak, saya menangguhkan seketika kursus yang diambil. Kini saya masih ada tempoh setahun lagi sebelum menamatkan pelajaran," katanya tanpa berselindung.


Rentetan kerjaya seni


Dilahirkan pada 7 September 1981, Ellyas memberitahu, dia terjun di bidang lakonan hanyalah secara kebetulan, malah ia tidak pula disengajakan.


"Pihak Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) ada ternampak gambar saya dalam majalah dan saya dipanggil untuk uji bakat.


"Selepas itu saya terus diterima. Lalu bermulalah episod saya bekerjasama dalam siri Dunia Baru bersama para pelakon lain.


"Dari situlah permulaan karier saya bergelar pelakon. Saya diberi peranan sebagai Tajol - individu yang kasar, suka berterus-terang dan mementingkan soal wang.


"Setelah Dunia Baru memasuki musim ketiga dan terlibat dengan filem Dunia Baru The Movie, saya semakin selesa meneruskan perjuangan sebagai pelakon," katanya gembira.


Transisi drama ke filem


Menganggap Tajol berlawanan dengan jati dirinya, Ellyas mengakui, dia gembira dapat berlakon dalam filem lebih-lebih lagi dia ibarat pucuk muda yang baru sahaja hendak bercambah.


"Sudah tentu saya gembira dapat peluang berlakon filem meski pun baru setahun jagung melangkahkan kaki dalam bidang ini.


"Ada bezanya filem dan siri Dunia Baru. Kalau dalam drama rantaian itu mengandungi 13 episod selama sejam, filem ini pula mengambil masa satu jam setengah dan pelbagai elemen perlu diketengahkan.


"Memang sukar pada mulanya. Dalam filem yang berkapasiti besar, pastinya kami perlu menitikberatkan pelbagai perkara waima sekecil mana sekali pun.


"Bayangkan, dalam tempoh sesingkat itu, kami perlu tonjolkan pelbagai adegan menarik yang dapat menyalurkan mesejnya kepada audiens," celahnya lebih lanjut.


Begitu pun, Ellyas benar-benar menghargai bantuan dan sokongan pengarah filem ini, M. Hitler Zami yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang penggambaran filem ini dilakukan.


"Kalau ada yang cakap lakonan saya baik dan nampak natural, kredit itu jugalah yang patut dihalakan kepada Hitler," jawabnya merendah diri.


BARISAN karyawan filem generasi baru yang sedang meraih sambutan hangat.

0 comments:

Post a Comment