Kehidupan Santai Elyana ~

Monday, December 29, 2008


KALAU boleh diringkaskan gaya gadis muda ini dengan satu perkataan sahaja, ia adalah santai. Erneelya Elyana Emrizal santai dalam menghadapi cerita remeh hidupnya. Pemakaiannya juga santai dan minimal.

Namun dalam segala santai cara hidup yang dijalaninya, dia tampak serius dalam melakar kerjaya sebagai anak seni. Cuma kita jarang melihat Elyana melayan tohmahan terhadapnya.

Elyana kini semakin selesa bergelar pelakon. Gayanya bersahaja dan semula jadi. Bukan kali pertama menjadi penghias televisyen, namun kini wajahnya kerap di saluran Ria (saluran 104 Astro) untuk drama Renjis 2 yang disiarkan pada setiap hari Rabu pukul 9.05 malam.

Dia membawa watak Kirana, gadis yang fobia dengan perkahwinan disebabkan pernah dikecewakan seorang lelaki.

Bukan sahaja cantik menjayakan watak Kirana, Elyana juga mencantikkan Kirana dengan pemakaian yang menjadi pujian penonton.

“Walaupun banyak bermain dengan perasaan, namun ia tidaklah terlalu serius sebab kalau terlalu serius penonton pula yang akan rasa tertekan,” ujarnya bercerita perihal Kirana, gadis yang penuh dengan emosi terlindung.

“Terus terang, saya sangat senang bekerja dengan pengarah Renjis yang baru ini sebab bagi saya dia sangat bagus. Sebagai pelakon baru memang saya sangat mengharapkan impak yang baik daripada penonton,” katanya.

Dalam realiti kehidupan, gadis berusia 21 tahun ini tidak takutkan komitmen. Berjaya menjadi penyanyi dan diterima dengan cara pembawakannya, namanya sekali lagi tersenarai dalam pencalonan akhir Muzik-Muzik 2008.

Membawakan lagu Kalis Rindu, dia nyata bersyukur dengan peluang yang diberikan kepadanya. Tidak rugi dia membawa kelainan dalam nafas suara dan genre lagunya. Dan untung juga dia menjadi anak didik seorang komposer berbakat besar, Aidit Alfian.

Komitmen terhadap sebuah perhubungan juga tidak cuba ditutupnya. Hubungan kasih sayang Elyana dan pengusaha restoran sushi mendapat restu ramai lantaran sikap Elyana yang terbuka dalam soal cinta.

“Saya bertuah sebab dapat dia yang sayangkan saya dan juga keluarga saya. Malah dia juga memahami kerjaya saya sebagai artis dan pandai mengambil hati keluarga. Itu yang saya suka tentang dirinya,” katanya.

Walaupun belum dikurniakan sebarang anugerah yang benar-benar memberi sebuah pengiktirafan yang besar, namun perjalanan Elyana rancak dalam nada seriusnya. Dia komited dan wajar dilihat sebagai anak seni yang bersungguh-sungguh dalam bidangnya.

Sumber: Kosmo

0 comments:

Post a Comment