Elyana bersedia untuk berhijrah !

Monday, December 29, 2008

Mila, Elyana sedia berhijrah demi kebahagiaan keluarga

PERTEMUAN bersama dua artis remaja popular, Mila dan Elyana di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, berlangsung dalam suasana ceria baru-baru ini. Masing-masing sibuk memperkatakan harapan mereka sempena Maal Hijrah atau 1 Muharam esok, selain kedatangan tahun baru yang menjelang tiba tidak lama lagi.

Elyana manis bertudung

Siapa sangka di sebalik kontroversinya berkaki ayam ketika bertanding dalam Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) tahun lalu, gadis lincah ini kelihatan cukup anggun bertudung dan mengenakan busana Muslimah sempena fotografi khas Maal Hijrah kali ini.


Beliau tidak sedikit pun kelihatan kekok menggayakan imej itu, malah turut menunjukkan kematangannya walaupun usia baru mencecah 21 tahun."Bertudung sebenarnya bukan perkara asing bagi saya.


Malah, sejak berusia 13 tahun lagi saya sudah memakai tudung kerana pihak sekolah mewajibkan setiap pelajar perempuan Islam bertudung. Sebab itulah saya tidak kekok memakai tudung."Saya memang tiada masalah untuk memakai tudung, baju kurung, jubah dan sebagainya mengikut kesesuaian majlis yang dihadiri. Ini juga sebagai penghormatan terhadap sesuatu tempat seperti surau dan masjid," katanya.


Elyana juga tidak keberatan melakonkan apa-apa watak yang memerlukannya bertudung kereana sebagai pelakon, menjadi tanggungjawabnya untuk menjiwai sebarang watak yang diberikan kepadanya dengan baik.


"Bila sudah diarahkan, saya perlu berlakon dengan baik tetapi tidak banyak tawaran berlakon, yang memerlukan saya bertudung diterima setakat ini. Insya-Allah, kalau ada tawaran selepas ini, saya sudi menimbangkannya," katanya.


Bagaimanapun, katanya, beliau masih belum bersedia untuk tampil bertudung sepenuhnya."Ini bukan boleh dipaksa-paksa kerana kesedaran itu perlu datang dengan sendirinya, dari dalam diri kita... dari hati yang ikhlas. Belum sampai 'seru' saya bertudung agaknya.


Tidak mustahil saya akan bertudung suatu hari nanti, mana tahu selepas saya berkahwin nanti. Ketika itu, mungkin juga saya sudah berhenti menyanyi dan melakukan kerja yang sesuai dengan imej baru saya. Mungkin, saya akan membuka perniagaan sendiri.


Ini satu `penghijrahan' terbesar dalam hidup saya dan perlu difikirkan baik-baik," katanya.


Mahu buka butik kafe

Terkenal dengan fesyen funky, selain imej 'gila-gila' yang sering digayakan beliau sebelum ini, sesuai keremajaannya, Elyana mengakui cukup menggemari bidang fesyen, malah menyimpan hasrat untuk membuka butiknya sendiri.


"Saya juga suka makan, malah tidak melepaskan peluang berkunjung ke mana-mana restoran di ibu negara yang menyediakan hidangan lazat. Mungkin, saya menggabungkan bidang fesyen dan makanan, dengan membuka butik kafe. Di Malaysia pun, sudah ada banyak restoran yang menggunakan konsep sebegini. Ini satu perkembangan baik dan membuktikan konsep butik kafe mempunyai prospek cerah. Ini memang ada dalam senarai azam tahun baru saya," katanya.


Sempena Maal Hijrah dan kedatangan tahun baru Masihi, beliau juga berharap untuk meneruskan pengajiannya yang terhenti seketika sebelum ini kerana mahu memberikan tumpuan dalam bidang nyanyian dan lakonan.

"Selepas SPM, saya pernah mendapat tawaran ke sebuah universiti tetapi terpaksa dilupakan kerana sibuk menyanyi dan berlakon. Namun, tidak bermakna ia akan terhenti setakat itu dan bagi saya, ada banyak cara dan tempat untuk kita belajar," katanya yang kini makin popular dalam lakonan menerusi drama bersiri, Renjis.


"Sebenarnya, saya cepat bosan dengan sesuatu benda. Itu memang sifat saya dari dulu. Sebab itulah, dari bidang nyanyian, saya kembangkan karier saya ke bidang lakonan sekarang. Mungkin, selepas ini saya mahu cuba dalam bidang pengacaraan.... mungkin tahun depan," katanya.


Persiapan untuk AJL23

Ditanya mengenai persiapannya yang akan bertanding dalam kategori pop rock AJL23 bulan depan, Elyana yang kini dikatakan hangat bercinta dengan seorang pengusaha restoran sushi berkata, tumpuannya lebih kepada aspek vokal.


"Sebenarnya, tidak banyak sangat persiapan dibuat kecuali memberikan tumpuan pada latihan vokal. Bagi saya, dalam pertandingan lagu sebegini, aspek yang diberi penekanan selalunya lebih kepada komposisi lagu, penulisan lirik dan vokal penyanyinya," katanya.


Malah, beliau mengakui tidak begitu menggemari konsep persembahan yang terlalu 'sarat' kerana personalitinya agak ringkas, terutama dari segi pemakaian, sesuai dengan usianya yang masih di peringkat awal 20-an.


"Jika anda mengenali saya, saya seorang yang selamba. Ini memang personaliti saya, ada ketikanya terbawa-bawa ketika saya membuat persembahan. Sebab itulah, anda boleh saksikan sendiri persembahan saya selalunya ringkas dan bersahaja... itulah diri saya," katanya.

Pada masa sama, Elyana tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi mengenai peluangnya dalam AJL23.

"Ini kali kedua saya berjaya ke peringkat akhir, malah saya sendiri pun tidak menyangka lagu ini (Kalis Rindu) layak terpilih ke AJL23. Maklumlah, ketika bertanding di peringkat separuh akhir dulu pun, persaingan cukup sengit hingga juri pun pening kepala untuk membuat keputusan. Sebenarnya, semua penyanyi dan lagu bertanding dalam setiap kategori hebat-hebat belaka sehingga sukar diramalkan siapa bakal dinobatkan sebagai juara.

Bagi saya, AJL23 adalah pertandingan `best of the best' dan semua peserta adalah pemenang," katanya.

bharian;cover B*Pop 281208

0 comments:

Post a Comment