Showing posts with label Newspapers. Show all posts
Showing posts with label Newspapers. Show all posts

Hanya mereka yang rapat diundang

Wednesday, August 25, 2010

pix_middle

SEBAIK saja bergelar tunangan orang, penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana seakan menyepi diri.

Agak jarang kisahnya terpampang dalam media. Adakah Elyana sedang membilang hari untuk menjadi seorang isteri sehingga tidak lagi hiraukan sinar kemilau dunia artis?

Hakikat sebenarnya, penyanyi lagu Kalis Rindu ini belum bercadang untuk berkahwin dalam waktu terdekat ini. Lebih daripada itu, dia terpaksa menangguhkan hari bahagia­nya kepada penghujung tahun ini.

Jika ikut perancangan awal, Elyana berhajat melangsung­kan majlis perkahwinannya pada Julai lalu.

Apapun, tidak mahu tergesa-gesa tanpa persediaan, Elyana dan tunangnya, Khairul Anuar Hussin, 35, memutuskan akan bernikah pada Disember nanti.

Mereka merancang mengadakan majlis bersejarah itu dalam suasana tertutup dan eksklusif.



Hanya keluarga, rakan dan peminat yang rapat dengan Elyana saja akan diundang pada hari itu. Ini kerana Elyana mahu berkongsi detik kegembiraan­nya itu bersama orang yang ada kaitan dengan hidupnya.

Mengikat pertunangan pada 11 Julai tahun lalu, Elyana berkata dia tidak mahu terlalu membuat sebarang persediaan rapi kerana tidak mahu terikat dengan agenda diatur.

“Oleh itu, saya akan terasa apa-apa kekurangan dan buat sekadar yang mampu saja, tetapi meriah.

“Saya bersyukur ada ramai sahabat yang sedia menghulurkan bantuan mereka termasuk, menawarkan pertolongan membeli hantaran.

“Bagaimanapun, disebabkan saya yang mahu berkahwin, biarlah soal barangan hantaran saya dan Khairul saja yang turun padang membelinya.

“Setakat ini, alhamdulillah semua hantaran sudah disediakan dan kami membelinya dalam negara saja.

“Kesibukan saya dan tunang dengan urusan masing-masing, tidak membolehkan kami ke luar negara untuk membeli barangan hantaran. Apapun, yang penting kami puas kerana membelinya sendiri.

“Kami juga tidak merancang tarikh tertentu seperti cuti persekolahan untuk mengadakan majlis ini. Bagi kami, asalkan tarikh itu dapat mengumpulkan semua ahli keluarga kami untuk bersama meraikan majlis diadakan,” katanya.

Petah berbicara, kematangan Elyana cukup terserlah. Biarpun, usianya baru mencecah 23 tahun, dia kelihatan sudah bersedia untuk bergelar isteri orang. Ujarnya, barangkali juga usia tunang yang agak matang menyebabkan dirinya semakin dewasa.

Menyentuh soal dirinya yang bijak mengawal gosip diri, Elyana berkata, dia dan tunangnya selalu berjumpa seperti pasa­ngan bercinta lain.

Katanya hujung minggu memang sudah ditetapkan hari mereka bertemu dan berkumpul bersama keluarga.

“Lagipun, kalau kami keluar bersama, saya macam orang normal dan bukan artis. Bahkan, selalunya kami memang bersama keluarga. Hingga ada juga rakan yang beranggapan kami ini pasangan membosankan kerana tidak suka bersosial.

“Sebab itu juga, kami terselamat daripada gosip liar. Apapun, saya gembira sepanjang pertunangan kami kerana Khairul sangat memahami,” kata Elyana yang akan muncul dengan single baru ciptaan Aidit Alfian dan lirik Ad Samad selepas Aidilfitri ini.

Menyentuh soal persiapan raya, Elyana berkata, setiap tahun persiapannya biasa saja.

Malah, dua hari sebelum Aidilfitri baru membeli pakaian. Ini kerana dia seorang yang ring­kas bergaya, tetapi me­ngakui lebih cenderung membeli kuih-muih.

“Saya memang suka makan. Jadi, kalau melihat ada kuih yang sedap, saya mesti beli,” katanya yang kelihatan semakin sihat.

Read more...

Bicara Mata Ini - Album Bermakna di Noughties

Thursday, July 1, 2010


Elyana patut berasa bangga akan dirinya kerana salah satu albumnya , Bicara Mata Ini terpilih sebagai album bermakna di Noughties..

Jum baca article ni di TheStar Online .

"After two albums and two hit ballads, a then 18-year-old Elyana was given the green light by her label to decide on the direction of her next album, Bicara Mata Ini. The first thing she did was drop the cheese she was known for and form a songwriting team that was made up of forward-thinking composers like Aidit Alfian (who penned Tak Tercapai Akalmu), Alim The Times (Diriku Tapak Sulaiman) and AG Coco (Pakai Kanta Cinta).

The outcome was an alternative-flavoured pop rock album that not only erased what many used to know Elyana for, but also became a musical benchmark that is yet to be emulated. "

Kata Nana " Wow! ya.. i really proud!!! "

Kita sebagai peminat Elyana juga perlu berasa bangga terhadapnya :D
Cheers!

Read more...

Inilah diriku

Tuesday, April 7, 2009


Cukup sekadar berada dalam kelompok lima terbaik Penyanyi Wanita Popular

SUDAH sedekad pembabitan usianya dalam dunia nyanyian dan calon Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2008 ini masih utuh di persada seni.

Sudah lama meninggalkan pentas anugerah berprestij ini, nama penyanyi berusia 22 tahun ini pernah dilakar pada 2002 selepas berjaya dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular.

Ia bukti bahawa penyanyi muda ini masih mempunyai kelompok peminat yang setia menyokong haluan kerjayanya. Malahan sejak tahun 2003, si cantik manis bernama Elyana ini terus memantapkan lagi laluan seninya apabila mula bergelar pelakon.

Filem Dunia Baru, selain drama bersiri Renjis antara lakonannya yang membuktikan bahawa Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal ini ternyata mampu mempelbagaikan kebolehannya. Bahkan tidak keterlaluan kalau dikatakan dia mempunyai bakat semula jadi dalam dunia lakonan.

Tapi pintasnya sewaktu sesi fotografi di Rafflesia The Pearl Centre, biarpun dunia lakonan semakin disukai, dia masih belum tegar meletakkan bidang ini sebagai kerjaya utama.

Katanya, dunia nyanyian masih menjadi kecintaan yang terus membara. “Saya tidak nafikan, lakonan bukanlah semudah yang disangka. Lakonan memerlukan iringan kekuatan mental dan fizikal. Sekarang pun saya begitu sibuk menyiapkan penggambaran drama 26 episod, Katrina Kamelia bagi siaran Astro Prima dan bergandingan dengan Nabil Mentor,” katanya yang pernah berlakon filem Gong dan cakera padat video, Seriau.

Sewaktu diumumkan memenangi kategori Artis Baru ketika itu, Elyana yang mesra membahasakan dirinya sebagai Nana tidak dapat hadir kerana datuknya meninggal dunia. Namun kali ini, selepas beberapa kali tidak dapat memeriahkan ABPBH, Elyana begitu teruja dan gembira untuk menyaksikan kegemilangan kemuncak malam itu nanti berterusan.

“Kali terakhir Nana tercalon dan menang pada 2002. Selepas itu nama Nana seperti tidak melekat sehinggalah pada anugerah tahun ini. Perasaan sudah lama tak terbabit cukup berlainan. Malahan Nana tidak berharap untuk pulang dengan trofi kedua. Saingan kali ini cukup hebat, lihat saja nama Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Stacy.

“Cukup sekadar berada dalam kelompok lima terbaik, tapi soal rezeki Nana sendiri tidak tahu nak cakap apa. Apa yang penting, Nana dapat sama-sama memeriahkan majlis dan memberi sokongan kepada ABPBH yang terus memartabatkan warisan seni kita dalam konteks popular,” katanya yang hadir ke Rafflesia, Park Royal, KL ditemani kekasih hatinya.

Mengaku sedang berkasih

MENELUSURI kisah peribadinya, Elyana juga antara selebriti yang cukup kencang dengan pelbagai kisah kurang enak. Namun katanya, kalau belum bersedia dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Antara kisah kontroversi yang timbul seperti dia tinggal serumah dengan kekasihnya, ‘buncit’ gara-gara buatan orang, termasuk kisahnya dengan Ally Iskandar yang diandaikan sudah tumbuh putik cinta.

“Nana dengan dia (Ally) hanya berkawan. Biarlah orang nak cakap apa. Semakin kita menafikannya, semakin pelik pula tanggapan sesetengah orang terhadap persahabatan kami.

“Nana memang tidak ada ramai kawan. Sesekali jumpa dan apabila sudah serasi, Nana boleh jadi rapat dengannya,” katanya yang sudah mempunyai kekasih hati (bukan Ally) sejak tiga tahun lalu.

Lumrah kehidupan, baginya setiap manusia tidak pernah dilahirkan dalam keadaan sempurna, malah tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Katanya setiap kontroversi yang tak diundang terpaksa ditelan biarpun penafian sudah dilakukan. “Tak kira siapa kita mahupun apa juga pangkat kita, pastinya kita tidak akan terlepas daripada diuji. Tiada apa yang perlu terasa, kerana inilah namanya kehidupan.

“Selagi Nana mampu bertahan dalam dunia seni dan Nana akan terus bekerja dalam bidang demi minat yang ada,” ungkapnya lagi.

Soal peribadi, tanpa berselindung Elyana sudah mula serius memikirkan masa depan yang lebih baik bersama kekasihnya. Malahan hal untuk ke arah gerbang perkahwinan sudah lama dirancang, namun sebagai manusia biasa, dia akur, Tuhan saja menentukan.

“Berbanding soal lain, memang Nana sudah mula memikirkan soal kehidupan akan datang. Rezeki boleh datang daripada mana-mana arah. Kalau sudah ada, pasti ada rezeki.

“Begitu juga dalam soal jodoh. Malah, Nana boleh katakan sudah mula terbayang soal kehidupan berkeluarga dan anak-anak,” katanya yang percaya kepada kata hati dan tidak teragak-agak untuk berkahwin andai jodoh kuat menyatukan dirinya dengan kekasih.

Gaya seperti maharani Mesir

PADA malam kemuncak ABPBH 2008 pada 12 April nanti, Elyana bakal menggayakan rekaan Zery Zamry selain menggunakan khidmat tatarias, Amy Janz. Kain kaftan merah rekaan Zamry itu cukup melekat ditubuh Elyana dan minta saja apa mood yang diingini, dia mampu merealisasikan.

“Dekat dekat tiga tahun saya mengenali Zery. Sebelum bertemu dengannya, Nana akui susah juga untuk kekal dengan mana-mana pereka fesyen dalam tempoh yang panjang. Amy Janz juga antara juru solek kegemaran Nana. Mereka ialah individu yang boleh mengubah Nana menjadi lain daripada kebiasaan.

“Memang orang lain susah nak fahami corak gaya Nana. Tapi tidak dengan Zery yang mengetengahkan konsep yang bersesuaian dengan Nana. Kami senang bekerjasama dan dia juga antara kawan Nana tidak sekadar hubungan antara artis dengan pereka fesyen,” katanya.

Sementara itu, Zery, 25, menyifatkan Elyana sebagai selebriti yang mempunyai cita rasa tersendiri dalam soal bergaya. Mula dikenali sejak 2005 dalam industri fesyen tempatan, nama Zery memang dilihat cukup sinonim dengan Elyana.

Lulusan ijazah fesyen, UiTM Shah Alam ini berpendapat bahawa Elyana bijak membawa busana yang dipakai tampak bernyawa.

“Kalau dia ada idea dan cadangan selalunya dia akan usulkan kepada saya. Yang saya perhatikan, dia mampu membawa gaya pakaian pelik yang tidak semua artis boleh lakukan. Letak apa saja fesyen kepadanya, dia bijak menghidupkan pakaian itu dengan cara yang tersendiri,” katanya yang baru saja membuka butik di deretan rumah kedai beralamat nombor 16C, Tingkat Dua, Jalan Tengku Ampuan Zabedah K, 9/K, 40100 Shah Alam (belakang Hotel Concorde).

Mengenai draf dan usul yang akan dilakukannya terhadap Elyana menjelang malam kemuncak nanti, Zery akan menggunakan kain songket berwarna hitam dan perak dengan sedikit sentuhan glam rock. Katanya lagi, soal sama ada Elyana akan berkaki ayam atau bersepatu atau tidak, semuanya dibiarkan menjadi tanda tanya.

“ABPBH kali ini saya ingin mengubah dirinya daripada remaja ke arah yang lebih matang. Saya mungkin akan menggunakan songket di bahagian atas atau di belakang. Menambah seri, saya akan letakkan perincian ‘sequine’ dengan kain sulam dari India daripada Euromoda. Tak dilupakan kain songket gamelan warisan Terengganu,” katanya yang boleh dihubungi di zeryzamry.blogspot.com.

-BERITA HARIAN


Penghargaan

Solekan dan rambut: Amy Janz (012-2763600)
Busana: Zery Zamry (017-6519056)
Koleksi barang kemas: Rafflesia The Pearl Centre

..

Read more...

Berdiet tetapi perut membusung!!

Sunday, February 1, 2009


Perubahan fizikal mendadak itu serta emosi yang sering terganggu mengundang tanggapan yang bukan-bukan kepada mereka yang rapat dengannya.

Ada yang menyangka dia berbadan dua.

Akhirnya rahsia penyakit misteri Elyana terbongkar selepas dia menyuarakan kepada seorang teman yang mengalami penyakit sama.

Seperti hendak gugur jantungnya apabila dimaklumkan terkena buatan orang sewaktu mendapatkan rawatan tradisional di Kuala Lumpur dan penyakit misteri yang dialaminya itu dipercayai busung.

Lebih menyedihkan penyakit yang dideritai sejak tiga tahun lalu itu akibat perbuatan kawan sendiri.

"Masa berubat, orang yang merawat saya itu memaklumkan orang yang melakukan perkara itu kawan saya sendiri. Tetapi saya kurang percaya pada amalan sebegini tambah pada zaman moden ini.

"Saya tidak sangka masih ada yang mengamalkannya dan lebih mengejutkan, orang yang dimaksudkan kawan sendiri. Tetapi saya nampak perubahan pada dirinya sejak saya sakit cuma saya tidak pernah bertanya dengannya.

"Bagaimanapun, saya tidak marah atau berdendam dengannya walaupun perbuatannya itu kesalahan besar di sisi agama.

"Saya reda dan minta maaf kepada semua jika ada perbuatan saya selama ini yang menyinggung perasaan mereka," katanya.

Kata Elyana, dia tidak mengetahui punca sebenar mengapa kawannya itu sanggup bertindak sedemikian kerana perbuatan itu sama seperti membunuh.

Mungkin sahabatnya itu ada alasan berbuat demikian. Namun, apa yang dikesalkan akibat perbuatan itu bukan saja menjejaskan kesihatan dan kerjaya seni, tetapi juga mengeruhkan hubungannya dengan keluarga.

"Saya tidak sedar perubahan pada diri, tetapi ramai perasaan terutama keluarga dan kawan rapat. Sejak terkena penyakit itu, saya sering menyendiri dan panas baran sehingga mereka yang tidak bersalah pun jadi mangsa amukan saya.

"Selalunya ahli keluarga menjadi tempat melepaskan amarah. Malah, saya jadi malas bekerja, sering pening dan sakit perut sampaikan persembahan yang sudah dipersetujui terpaksa dibatalkan saat akhir," katanya.

Mengakui keadaannya semakin pulih selepas menjalani rawatan tradisional, Elyana kembali semangat untuk bekerja. Dia kini sedang menjalani penggambaran drama 26 episod arahan Jamal berjudul, Katrina Kamelia.

Elyana yang mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu baru-baru ini menerusi lagu Kalis Rindu mengakui Katrina watak berbeza dengan peranan yang pernah dibawakannya sebelum ini.

"Watak saya yang ini memang berbeza. Selalunya saya dikenali dengan watak gadis baik dan sempoi, tetapi kali ini saya bawa watak pelajar yang jahat.

"Penggambarannya baru saja bermula minggu lalu jadi belum tahu perkembangan watak saya namun kalau melihat skrip saya memang jahat gila dalam drama ini," katanya.

hmetro

Read more...

Ekspresif Elyana, Ellyas

Sunday, January 11, 2009


MUDA, segar generasi pelapis karyawan seni tanah air.


ERNEELYA Elyana Emrizal atau lebih mesra disapa Elyana, 20, kini bukan lagi gadis hingusan yang dikenali sejak alam persekolahan enam tahun lalu.


Hakikatnya, Elyana yang mula memahat nama sebagai penyanyi bersama syarikat rakaman FMC ketika dia berusia 15 tahun, sudah jauh mengatur langkah.


Puas membawa gelaran sebagai penyanyi, barangkali Elyana mahu menambah profil dalam direktori seninya apabila dia mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan.


Dia hadir bagaikan pakej lengkap yang cukup direstui dalam industri hiburan tanah air, malah percubaannya beraksi di kaca TV dan layar lebar ternyata membuahkan hasil.


Walaupun masih belum teruji dengan watak lain lebih mencabar, namun kata-kata pujian harus dilayang buat anak kelahiran Klang, Selangor ini atas usaha gigihnya menjiwai karakter.


Nyanyian jadi keutamaan


KARIER nyanyian dan lakonan Elyana kini sedang bersinar.



Sudah selesa dengan transformasi dunia barunya sebagai pelakon, apakah karier nyanyian Elyana sudah menerbitkan bibit-bibit pengakhiran?


Kini popular menerusi lagu Kalis Rindu, Elyana berkata, dia mendapat banyak tawaran lakonan setelah melibatkan diri dengan filem Seriau kira-kira lima tahun lalu.


"Cuma saya tidak mahu terima buat masa ini apatah lagi saya hanya jadikan kerjaya ini sekadar mengisi masa lapang.


"Bidang nyanyian masih didahulukan. Berlakon sekadar hendak mencuba sesuatu yang baru untuk diterokai.


"Saya tidak boleh cakap lebih-lebih, mana tahu suatu hari nanti saya akan jadikan lakonan sebagai kerjaya tetap.


"Tidak mustahil bukan kalau ia berlaku," soalnya ringkas.


Elyana punca box-office?


Menceritakan filem terbarunya, Elyana yang memegang watak sebagai Opie berkata, hampir 90 peratus karakter dalam Dunia Baru The Movie menyerupai dirinya di alam realiti.


"Ada persamaan antara Opie dan Elyana menerusi aspek kekeluargaan, fesyen dan pergaulan.


"Tidak sukar membawakan diri Opie kerana saya banyak gunakan pengalaman sendiri bagi menjiwai watak," pintasnya.


Mengakui dia tidak mempunyai ramai kenalan, Elyana mengakui teruja kerana dapat mengenali pelakon lain dalam Dunia Baru The Movie.


"Peluang berlakon ibarat saya dapat tambah kawan baru yang memiliki pelbagai ragam dan telatah menarik," katanya.


Dalam pada itu, Dunia Baru The Movie berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM1.7 juta sepanjang sembilan hari berada di pawagam seluruh tanah air.


Bagi Elyana, dia menganggap kejayaan filem itu berdasarkan kerjasama dari semua pelakon dan krew produksi yang terlibat.


"Kalau ada yang cakap Dunia Baru The Movie berjaya disebabkan penglibatan saya sendiri, ia tidak benar sama sekali.


"Semua pelakon yang menjayakan filem ini memberikan sepenuh komitmen masing-masing.


"Ia berlaku disebabkan setiap karakter memiliki keistimewaan dan kekuatan sendiri," ujarnya.


Dunia Baru Ellyas


ELLYAS menangguhkan pengajian demi bergelar pelakon.



Raut wajah comel dengan rambut unik menjadikan Ellyas atau nama sebenarnya Wan Ellyas Wan Abdullah, 27, yang membawa karakter Tajol semakin digilai ramai.


Mula dikenali menerusi drama bersiri Dunia Baru sejak dua tahun lalu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini mengakui percaturannya melibatkan diri dalam bidang seni ternyata tidak sia-sia.


Masakan tidak, dia sanggup menangguhkan seketika pengajiannya di sebuah kolej swasta dalam bidang Teknologi Maklumat demi menggapai cita yang diimpikan bergelar pelakon.


"Sebelum ini saya berkecimpung dalam dunia pengiklanan komersial. Ketika itu saya masih menuntut dalam peringkat ijazah sarjana muda.


"Setelah berfikir masak-masak, saya menangguhkan seketika kursus yang diambil. Kini saya masih ada tempoh setahun lagi sebelum menamatkan pelajaran," katanya tanpa berselindung.


Rentetan kerjaya seni


Dilahirkan pada 7 September 1981, Ellyas memberitahu, dia terjun di bidang lakonan hanyalah secara kebetulan, malah ia tidak pula disengajakan.


"Pihak Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) ada ternampak gambar saya dalam majalah dan saya dipanggil untuk uji bakat.


"Selepas itu saya terus diterima. Lalu bermulalah episod saya bekerjasama dalam siri Dunia Baru bersama para pelakon lain.


"Dari situlah permulaan karier saya bergelar pelakon. Saya diberi peranan sebagai Tajol - individu yang kasar, suka berterus-terang dan mementingkan soal wang.


"Setelah Dunia Baru memasuki musim ketiga dan terlibat dengan filem Dunia Baru The Movie, saya semakin selesa meneruskan perjuangan sebagai pelakon," katanya gembira.


Transisi drama ke filem


Menganggap Tajol berlawanan dengan jati dirinya, Ellyas mengakui, dia gembira dapat berlakon dalam filem lebih-lebih lagi dia ibarat pucuk muda yang baru sahaja hendak bercambah.


"Sudah tentu saya gembira dapat peluang berlakon filem meski pun baru setahun jagung melangkahkan kaki dalam bidang ini.


"Ada bezanya filem dan siri Dunia Baru. Kalau dalam drama rantaian itu mengandungi 13 episod selama sejam, filem ini pula mengambil masa satu jam setengah dan pelbagai elemen perlu diketengahkan.


"Memang sukar pada mulanya. Dalam filem yang berkapasiti besar, pastinya kami perlu menitikberatkan pelbagai perkara waima sekecil mana sekali pun.


"Bayangkan, dalam tempoh sesingkat itu, kami perlu tonjolkan pelbagai adegan menarik yang dapat menyalurkan mesejnya kepada audiens," celahnya lebih lanjut.


Begitu pun, Ellyas benar-benar menghargai bantuan dan sokongan pengarah filem ini, M. Hitler Zami yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang penggambaran filem ini dilakukan.


"Kalau ada yang cakap lakonan saya baik dan nampak natural, kredit itu jugalah yang patut dihalakan kepada Hitler," jawabnya merendah diri.


BARISAN karyawan filem generasi baru yang sedang meraih sambutan hangat.

Read more...

Kalih Hidup Elyana

Saturday, January 10, 2009


Visual pandangan mata dan audio pembawa cerita mengungkapkan bahawa gadis yang memiliki nama unik, Erneelya Elyana Emrizal sudah mula nampak transformasi. Ramai yang mengatakan gadis muda belia ini telah menempuh era perubahannya.


Namun tatkala Elyana melangkah masuk ke bilik solekan, saya belum lihat apa-apa perbezaan pada dirinya. Masih kekal periang dan selamba. Dia masuk membawa gaya ranggi, berseluar denim koyak, berbaju santai dan selipar rata kegemaran remaja sekarang.


Namun kala dia membuka mulut sambil bergelak ketawa dengan jurusolek, saya merasai kelainannya. Dia lebih terbuka. Karakter dan imej dalamannya lebih matang.


Daripada tangga ke ronggaMerubah diri sendiri dari satu tahap ke tahap yang lain bukan hal 'kacang-kacangan'. Perjalanan perlu cantik agar kerjaya sebagai anak seni bersih dan teratur.


Dan tak salah untuk dikatakan gadis 21 tahun ini mendaki tangga ke tangga sambil perubahan terus meresap ke setiap rongga hidupnya. Perlahan-lahan namun kemas.


Elyana baru muncul dengan album keempat, sesuatu yang dicopkan sebagai simbol dirinya yang sebenar sejajar dengan tajuk yang diberikan - Jadi Diriku. Dan dia juga baru sahaja keluar dengan sebuah filem, Dunia Baru The Movie.


"99 peratus isi album itu adalah diri saya. Bukan sahaja konsep tetapi apa jua yang saya inginkan ada di dalamnya."


ELYANA kini tinggal berasingan daripada keluarga dan mula meneroka cinta.


Terbayang kepuasan menerusi bola matanya, Elyana juga rancak bercerita tentang album yang diterbitkan oleh komposer muda, Aidit Alfian itu.


Menjelaskan setiap bait seni kata di dalam albumnya hasil tulisan arwah Loloq dan Ad Samad berkait dengan kisah hidupnya namun paling menarik adalah Kalis Rindu.


"Macam mana nak cakap ye? Lirik itu boleh menggambarkan keadaan seperti anda sedang membaca komik, duduk di tanah yang lapang dan bersendirian. Ada tasik di situ. Bayangkan!


"Dan dengar lirik lagu itu, mesti terkena dengan sesiapa sahaja," ujarnya dalam ketawa dan raut matang sambil menjelaskan bahawa lagu itu paling sukar dinyanyikan.


Jadi diri sendiriSejujurnya Elyana sering tampil dengan gaya khasnya. Cerita bab berkaki ayam dan berambut warna-warni sudah wajib melekat dan jadi trademark dirinya.


Saya cuba kilaskan balik perjalanan karier hidup Elyana bermula dengan perkataan sombong yang lekat pada dirinya seketika. Adakah transformasi terhadap tingkah laku itu sudah terjadi atau tetap duduknya?


"Tak ramai yang faham. Saya bukan sombong. Itu saya. Sebetulnya, saya ialah seorang yang tidak ada keyakinan diri terutama bab menegur orang. Saya akui itu dan rupa-rupanya itu satu kelemahan.


"Namun jujurnya juga, saya sudah mengalami perubahan yang sangat ketara. Ini semua kerana saya sudah melalui proses pembelajaran dan belajar dengan ramai orang. Saya rupa-rupanya tidak perlu takut untuk menegur," ujarnya serius.


Aidit Alfian macam mak tiriJadi Diriku terbit dengan kerjasama tulang belakang yang mempunyai nama kuat yang sedang bangkit, Aidit Alfian, Ad Samad, Alfa Booty dan Rumie Booty. Dan sejajar dengan itu sudah dua album, dua nama ini bekerjasama.


Elyana dan Aidit Alfian. Nampaknya kolaborasi ini menjadi dan lebih tepat menyerlahkan lagi nama Elyana sebagai penyanyi pelapis yang sudah ada identiti sendiri.


Saat saya tanyakan Aidit, apa yang dia nampak pada seorang Elyana, pantas dia menjawab: "Tinggi, berani dan adventurous."


Dan menanyakan soalan yang sama pada Elyana, jawabnya dalam ketawa lagi: "Abang Aidit macam mak tiri sikit. Garang dia tu. Tapi dia seorang yang berani mencuba. Dia tahu saya yang tidak mahu menyanyi lagu mendayu-dayu ni. Dan dia seorang yang sangat kreatif."


Menyedari yang kariernya tidak naik terlalu tinggi dan memerlukan perjalanan masa yang panjang, Elyana punya prinsip tersendiri.


"Pada saya, tidak mengapa kalau tidak terbang tinggi, cuma kita harus terus berpijak. Setiap usaha pasti ada jaya."


Belajar tinggal sendiriDiam tak diam, pada usia 21 tahun Elyana semakin ingin belajar berdikari. Mungkin ternampak canggung pada mata khalayak, tapi Elyana yakin dengan duduk sendiri akan semakin mengubah dirinya.


"Saya tinggal sendiri sekarang. Bagi saya, setiap orang perlukan ruang untuk bersendiri.


"Waktu privasi itu sangat berharga. Dan yang lebih penting lagi, tinggal seorang boleh membuatkan saya lebih bertanggungjawab terhadap diri dan kehidupan."


Bukan alasan yang diciptakan semata-mata untuk sebuah kebebasan hidup tapi itu satu eksperimen yang menguji tahap disiplin diri sendiri.


"Pada awalnya kehendak ini ditolak oleh ibu dan bapa namun kerana memberi ruang untuk Elyana mencuba, ia 'diluluskan'.


"Menjadi tanggungjawab saya juga untuk membuat mereka percaya dengan saya," ujarnya yang baru sembilan bulan tinggal bersendirian.


Cinta anak mudaJika Elyana sendiri yang mengaku bahawa setiap lirik dalam album Jadi Diriku ini punya makna dalam hidupnya, saya tanyakan dia tentang permainan tarik tali dalam kehidupannya. Maklum sahaja, single pertama album ini bertajuk Kau Atau Aku (Tarik Tali).


"Ada permainan tarik tali dalam hidup saya. Tidak salah apabila seseorang menyimpan perasaan. Dan daripada sebuah lagu dan lirik, ia lebih sampai. Dan bagi saya penyanyi perlu ada rasa cinta untuk wujudkan rasa yang betul pada nyanyiannya."


Jadi kita beralih terus kepada babak yang sememangnya sering menjadi persembunyian para selebriti. Seakan tabu atau malu, ramai yang tidak suka mengungkapkannya.


Tidak bagi pemegang nama Opie dalam drama Dunia Baru ini. Senyumnya melerek dan mata memang tak boleh menipu.


"Benar, saya berjumpa dengan seseorang. Dia berusia 30-an. Yang pasti, saya senang dengannya. Dia simple.


"Ada masanya kita berjumpa dengan lelaki yang langsung tidak boleh masuk dengan kepala kita tapi dia lain. Dia senang memahami diri saya dan masuk kepala.


"Sukar untuk dapat respons daripada lelaki apabila perempuan bercakap, kan? Tapi yang seronoknya, dia bagi sepenuh perhatian bila saya bersuara.


"Pertemuan saya dengan dia sebenarnya secara kebetulan. Mulanya dia jual mahal tapi kemudian kami senang berkawan. Sikap jual mahalnya yang mencabar saya sebenarnya."


Elyana jelas berada di alam cinta - transformasi diri gadis remaja..

sumber:Kosmo

Read more...

Elyana ,dulu dan kini !!

Monday, January 5, 2009

Penampilannya sejak empat tahun lalu hingga kini, sentiasa berubah-ubah.

LAGU Niat yang dinyanyikannya pada tahun 1998 berjaya melonjakkan namanya dalam bidang seni suara. Kemudian diikuti pula dengan lagu Tak Tercapai Akalmu, Diriku Bagaikan Tapak Sulaiman dan terbaru, Kalis Rindu yang terus memuncakkan popularitinya.

Dulu dan kini, penampilan Erneelya Elyana Emrizal, 21, atau lebih popular dengan panggilan Elyana, cukup berbeza. Potongan rambut, pemilihan busana dan padanan aksesori segala-galanya disesuaikan mengikut peredaran zaman.

Tata rias bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, ini tidak pernah silap, sebaliknya sentiasa menjadi ikutan gadis remaja yang inginkan penampilan yang lebih segar dan ranggi.

Ikuti transformasi bintang muda ini yang gemar mengumpul aksesori dan sentiasa mencuci rambutnya setiap hari supaya kekal sihat dan bersinar.

source:Kosmo

KIRI:
GAYA ranggi terserlah apabila menggenakan seluar jean separa lutut, baju-t tanpa lengan serta tali pinggang dan gelang rona hitam.
TENGAH:
SEMAKIN bijak berfesyen. Padanan rantai dan skirt pendek bertingkat tampak ceria bersama baju-t rona hijau. Lebih-lebih lagi, potongan juraian rambut depannya.
KANAN:
MASIH mencari imej sendiri. Gaya rambut pendek dan penampilan kasual sentiasa menjadi pilihannya ketika berusia belasan tahun.

KANAN:
GEMAR bereksperimen dengan potongan rambut terkini. Rambut Elyana yang hitam dan panjang dipotong pendek. Highlight rona merah menambah seri rambut.
TENGAH:
FESYEN koboi yang unik. Bulu mata palsu menambahkan daya tarikan pada wajahnya. Elyana tidak pernah lupa membawa pelentik bulu mata dan maskara ke mana sahaja.
KANAN:
SESEKALI muncul dengan potongan rambut pendek yang telah dikeritingkan

Now!!

Read more...

Kehidupan Santai Elyana ~

Monday, December 29, 2008


KALAU boleh diringkaskan gaya gadis muda ini dengan satu perkataan sahaja, ia adalah santai. Erneelya Elyana Emrizal santai dalam menghadapi cerita remeh hidupnya. Pemakaiannya juga santai dan minimal.

Namun dalam segala santai cara hidup yang dijalaninya, dia tampak serius dalam melakar kerjaya sebagai anak seni. Cuma kita jarang melihat Elyana melayan tohmahan terhadapnya.

Elyana kini semakin selesa bergelar pelakon. Gayanya bersahaja dan semula jadi. Bukan kali pertama menjadi penghias televisyen, namun kini wajahnya kerap di saluran Ria (saluran 104 Astro) untuk drama Renjis 2 yang disiarkan pada setiap hari Rabu pukul 9.05 malam.

Dia membawa watak Kirana, gadis yang fobia dengan perkahwinan disebabkan pernah dikecewakan seorang lelaki.

Bukan sahaja cantik menjayakan watak Kirana, Elyana juga mencantikkan Kirana dengan pemakaian yang menjadi pujian penonton.

“Walaupun banyak bermain dengan perasaan, namun ia tidaklah terlalu serius sebab kalau terlalu serius penonton pula yang akan rasa tertekan,” ujarnya bercerita perihal Kirana, gadis yang penuh dengan emosi terlindung.

“Terus terang, saya sangat senang bekerja dengan pengarah Renjis yang baru ini sebab bagi saya dia sangat bagus. Sebagai pelakon baru memang saya sangat mengharapkan impak yang baik daripada penonton,” katanya.

Dalam realiti kehidupan, gadis berusia 21 tahun ini tidak takutkan komitmen. Berjaya menjadi penyanyi dan diterima dengan cara pembawakannya, namanya sekali lagi tersenarai dalam pencalonan akhir Muzik-Muzik 2008.

Membawakan lagu Kalis Rindu, dia nyata bersyukur dengan peluang yang diberikan kepadanya. Tidak rugi dia membawa kelainan dalam nafas suara dan genre lagunya. Dan untung juga dia menjadi anak didik seorang komposer berbakat besar, Aidit Alfian.

Komitmen terhadap sebuah perhubungan juga tidak cuba ditutupnya. Hubungan kasih sayang Elyana dan pengusaha restoran sushi mendapat restu ramai lantaran sikap Elyana yang terbuka dalam soal cinta.

“Saya bertuah sebab dapat dia yang sayangkan saya dan juga keluarga saya. Malah dia juga memahami kerjaya saya sebagai artis dan pandai mengambil hati keluarga. Itu yang saya suka tentang dirinya,” katanya.

Walaupun belum dikurniakan sebarang anugerah yang benar-benar memberi sebuah pengiktirafan yang besar, namun perjalanan Elyana rancak dalam nada seriusnya. Dia komited dan wajar dilihat sebagai anak seni yang bersungguh-sungguh dalam bidangnya.

Sumber: Kosmo

Read more...

Elyana bersedia untuk berhijrah !

Mila, Elyana sedia berhijrah demi kebahagiaan keluarga

PERTEMUAN bersama dua artis remaja popular, Mila dan Elyana di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, berlangsung dalam suasana ceria baru-baru ini. Masing-masing sibuk memperkatakan harapan mereka sempena Maal Hijrah atau 1 Muharam esok, selain kedatangan tahun baru yang menjelang tiba tidak lama lagi.

Elyana manis bertudung

Siapa sangka di sebalik kontroversinya berkaki ayam ketika bertanding dalam Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) tahun lalu, gadis lincah ini kelihatan cukup anggun bertudung dan mengenakan busana Muslimah sempena fotografi khas Maal Hijrah kali ini.


Beliau tidak sedikit pun kelihatan kekok menggayakan imej itu, malah turut menunjukkan kematangannya walaupun usia baru mencecah 21 tahun."Bertudung sebenarnya bukan perkara asing bagi saya.


Malah, sejak berusia 13 tahun lagi saya sudah memakai tudung kerana pihak sekolah mewajibkan setiap pelajar perempuan Islam bertudung. Sebab itulah saya tidak kekok memakai tudung."Saya memang tiada masalah untuk memakai tudung, baju kurung, jubah dan sebagainya mengikut kesesuaian majlis yang dihadiri. Ini juga sebagai penghormatan terhadap sesuatu tempat seperti surau dan masjid," katanya.


Elyana juga tidak keberatan melakonkan apa-apa watak yang memerlukannya bertudung kereana sebagai pelakon, menjadi tanggungjawabnya untuk menjiwai sebarang watak yang diberikan kepadanya dengan baik.


"Bila sudah diarahkan, saya perlu berlakon dengan baik tetapi tidak banyak tawaran berlakon, yang memerlukan saya bertudung diterima setakat ini. Insya-Allah, kalau ada tawaran selepas ini, saya sudi menimbangkannya," katanya.


Bagaimanapun, katanya, beliau masih belum bersedia untuk tampil bertudung sepenuhnya."Ini bukan boleh dipaksa-paksa kerana kesedaran itu perlu datang dengan sendirinya, dari dalam diri kita... dari hati yang ikhlas. Belum sampai 'seru' saya bertudung agaknya.


Tidak mustahil saya akan bertudung suatu hari nanti, mana tahu selepas saya berkahwin nanti. Ketika itu, mungkin juga saya sudah berhenti menyanyi dan melakukan kerja yang sesuai dengan imej baru saya. Mungkin, saya akan membuka perniagaan sendiri.


Ini satu `penghijrahan' terbesar dalam hidup saya dan perlu difikirkan baik-baik," katanya.


Mahu buka butik kafe

Terkenal dengan fesyen funky, selain imej 'gila-gila' yang sering digayakan beliau sebelum ini, sesuai keremajaannya, Elyana mengakui cukup menggemari bidang fesyen, malah menyimpan hasrat untuk membuka butiknya sendiri.


"Saya juga suka makan, malah tidak melepaskan peluang berkunjung ke mana-mana restoran di ibu negara yang menyediakan hidangan lazat. Mungkin, saya menggabungkan bidang fesyen dan makanan, dengan membuka butik kafe. Di Malaysia pun, sudah ada banyak restoran yang menggunakan konsep sebegini. Ini satu perkembangan baik dan membuktikan konsep butik kafe mempunyai prospek cerah. Ini memang ada dalam senarai azam tahun baru saya," katanya.


Sempena Maal Hijrah dan kedatangan tahun baru Masihi, beliau juga berharap untuk meneruskan pengajiannya yang terhenti seketika sebelum ini kerana mahu memberikan tumpuan dalam bidang nyanyian dan lakonan.

"Selepas SPM, saya pernah mendapat tawaran ke sebuah universiti tetapi terpaksa dilupakan kerana sibuk menyanyi dan berlakon. Namun, tidak bermakna ia akan terhenti setakat itu dan bagi saya, ada banyak cara dan tempat untuk kita belajar," katanya yang kini makin popular dalam lakonan menerusi drama bersiri, Renjis.


"Sebenarnya, saya cepat bosan dengan sesuatu benda. Itu memang sifat saya dari dulu. Sebab itulah, dari bidang nyanyian, saya kembangkan karier saya ke bidang lakonan sekarang. Mungkin, selepas ini saya mahu cuba dalam bidang pengacaraan.... mungkin tahun depan," katanya.


Persiapan untuk AJL23

Ditanya mengenai persiapannya yang akan bertanding dalam kategori pop rock AJL23 bulan depan, Elyana yang kini dikatakan hangat bercinta dengan seorang pengusaha restoran sushi berkata, tumpuannya lebih kepada aspek vokal.


"Sebenarnya, tidak banyak sangat persiapan dibuat kecuali memberikan tumpuan pada latihan vokal. Bagi saya, dalam pertandingan lagu sebegini, aspek yang diberi penekanan selalunya lebih kepada komposisi lagu, penulisan lirik dan vokal penyanyinya," katanya.


Malah, beliau mengakui tidak begitu menggemari konsep persembahan yang terlalu 'sarat' kerana personalitinya agak ringkas, terutama dari segi pemakaian, sesuai dengan usianya yang masih di peringkat awal 20-an.


"Jika anda mengenali saya, saya seorang yang selamba. Ini memang personaliti saya, ada ketikanya terbawa-bawa ketika saya membuat persembahan. Sebab itulah, anda boleh saksikan sendiri persembahan saya selalunya ringkas dan bersahaja... itulah diri saya," katanya.

Pada masa sama, Elyana tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi mengenai peluangnya dalam AJL23.

"Ini kali kedua saya berjaya ke peringkat akhir, malah saya sendiri pun tidak menyangka lagu ini (Kalis Rindu) layak terpilih ke AJL23. Maklumlah, ketika bertanding di peringkat separuh akhir dulu pun, persaingan cukup sengit hingga juri pun pening kepala untuk membuat keputusan. Sebenarnya, semua penyanyi dan lagu bertanding dalam setiap kategori hebat-hebat belaka sehingga sukar diramalkan siapa bakal dinobatkan sebagai juara.

Bagi saya, AJL23 adalah pertandingan `best of the best' dan semua peserta adalah pemenang," katanya.

bharian;cover B*Pop 281208

Read more...